Latar Belakang Tengku Permaisuri Norashikin

Tengku Permaisuri Norashikin, berasal daripada Shah Alam, merupakan isteri kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj setelah diijabkabulkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pada 31 Ogos 2016 di Masjid Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Majlis pernikahan baginda berdua telah dibuat secara sederhana dan ringkas atas titah baginda sendiri. Pernikahan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Dr. Anhar Opir; Imam Paduka Tuan, Mohd Rasid Mahful; mantan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Datuk Abdul Majid Omar; ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin, dan keluarga baginda. Datin Paduka Seri Norashikin telah dilantik oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Tengku Permaisuri Selangor pada 8hb September 2016, iaitu kira-kira seminggu selepas baginda berdua bernikah dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor.

Sebelum ini, baginda yang juga bekas pembaca berita Radio Televisyen Malaysia dan pramugari Malaysia Airlines itu pernah berkahwin dengan Kapten Mustapha Kamal Halim dan mempunyai dua cahaya mata, Nur Amanda dan Adam Salleh hasil perkahwinan tersebut.